Wednesday, September 8, 2010

Raya

Seingat saya sewaktu saya kecil sehinggalah habis zaman sekolah rendah, hari raya pertama akan diraikan di rumah arwah Atok dan Nenek di Parit Besar, Bagan, Batu Pahat. Atok dan Nenek adalah ayah dan ibu kepada Abah. Abah adalah satu-satunya anak yang tinggal di Batu Pahat. Abang-abang Abah yang lain tinggal di JB, Kulai, Kluang dan di KL. Pada masa itu rumah Atok tiada TV, cuma radio saja. Pastinya kami (seperti biasa saya dan Kak Huda) merungut (dalam diam) kerana rancangan TV pada hari raya adalah lebih menarik dari biasa. Paling saya ingat rancangan sarkas dan rancangan anugerah lagu seperti Grammy Awards and American Music Award. Tentu-tentunya kami tidak akan dapat menonton rancangan itu. Perasaan kami cukup hampa. Bukannya ada ASTO boleh tayang rancangan berulang-ulang macam zaman sekarang. Tetapi apabila difikir semula sekarang, sungguh tidak sesuai rancangan sedemikian pada perayaan Aidilfitri. Tiada kesinambungan dengan konteks sambutan Aidilfitri..(haaa..ambik tu ayat power).

Kebiasanya beberapa hari sebelum raya, kami akan di hantar ke rumah Atok dan Nenek untuk membantu membuat kuih raya. Saya paling suka menolong Nenek membuat kuih makmor. Dohnya begitu lembut, kami seringkali mencuri-curi makan kacang kisar bergula sampai tersedak-sedak jadinya. Setelah siap dikepal, kami akan berebut-rebut membuat corak di atas kuih menggunakan penyepit bergerigi. Aroma kuih makmor semasa dibakar tidak dapat saya lupakan, apatah lagi di bakar menggunakan oven yang diletakkan bara api diatasnya. Klasik!! Kuih makmor Nenek amat lembut dan ia akan cair sebaik saja di masukkan ke dalam mulut. Sedap tak terkata..

Nenek juga akan menyediakan kuih bahulu. Paling jenuh adalah proses memukul telur di dalam tempayan kecil. Nenek akan masukkan beberapa helai dauh limau purut sekali. Bau telur berbaur limau purut akan memenuhi ruang dapur. Penat tangan memukul telur, bergilir kiri dan kanan akan terbalas apabila dapat makan bahulu Nenek selepas dibakar, panas dan lembut sekali.

Rumah Atuk dan Nenek tinggi, berkolong, ada anjung dan bertingkap kayu panjang yang terbuka ke luar. Klasik lagi kan? Kami sering menunggu sepupu yang akan pulang ke kampung di tepi tingkap. Apabila mereka sampai, mula-mula memanglah semuanya berasa malu sebab dah lama tak berjumpa. Tapi selang dua tiga jam, kami semua dah mula berterumba di dalam rumah. Berderap derup lantai kayu rumah Atuk dan Nenek dikerjakan kami. Kolam mandi Atok akan keruh airnya dek ramai sangat yang berkubang di dalamnya.

Selepas di rumah Atok, kami akan ke rumah Arwah Bak Tok dan Arwah Mak Tok (ayah dan ibu kepada Mak) yang terletak di bandar Batu Pahat. Juadah raya di rumah Mak Tok agak berlainan dari rumah Nenek. Lepat pulut kacang merah bersampul daun palas menjadi kegemaran saya. Nak-nak bila dicecah dengan serunding daging Mak Tok. Makan begitu sahaja pun dah cukup. Paling saya suka apabila bersalaman dengan Bak Tok, bau minyak attarnya cukup wangi dan melekat di baju saya sepanjang hari. Bak Tok seorang yang periang dan sering memanjakan cucu-cucunya. Mak Tok agak serius, tapi kami tahu dia menyangi semua cucu-cucunya, Mak Tok amat menitikberatkan kepentingan pelajaran dan sering mengingatkan kami agar belajar bersungguh-sungguh. Oh ya, kautan wang raya di rumah Mak Tok juga lebih dari rumah-rumah lain. Yeay!

Rindu sungguh saya kepada mereka semua. Saya bersyukur dengan pengalaman saya semasa kecik and Inysa-Allah, kenangan ini tidak akan saya lupakan sampai bila-bila. Kini mereka telah kembali ke rahmatullah, seorang demi seorang setiap tahun bermula ketika saya memulakan sekolah menengah pada tahun 1986. Kami amat bersedih di atas pemergian Arwah Atok, Arwah Bak Tok, Arwah Mak Tok dan akhir sekali Arwah Nenek. Pemergian mereka meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri kami dan sambutan hari raya kami selepas itu telah berubah...

Kini giliran saya pula pulang ke kampung mengunjungi rumah Abah dan Mak di Batu Pahat. Saya ingin anak-anak saya mempunyai kenangan seperti saya apabila mereka besar kelak. Walaupun rumah Abah dan Mak bukanlah rumah kampung seperti rumah Arwah Atok dan Nenek, namun suasana rayanya agak serupa terutama apabila kami adik beradik berkumpul bersama. Kepada Mak dan Abah, maaflah tahun ini kami lambat balik ke Batu Pahat, tapi Insya-Allah, kami akan sampai pada raya ke 2. Doakan perjalanan kami selamat, pergi dan balik.

Buat semua, Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Maaf Zahir dan Batin.

1 comment:

Huda Ahsin said...

Walaupun badan bongkok melengkung, dia gagahkan jugak buat kuih untuk anak-anak & cucu-cucu. Kenangan buat kuih dgn nenek memang priceless!