Tuesday, September 7, 2010

Puasa

Rumah Mak dan Abah dulu ada dua batang pokok jambu batu. Sebelah kiri jambu batu berbiji dan sebelah kanan rumah jambu yang tidak berbiji. Pokok jambu berbiji tu sebelah garage rumah. Pokoknya rendang, setinggi garage itu sendiri dan banyak pohon besar yang boleh di panjat dan dibuat tempat duduk. Maka tentulah ia memang menjadi tempat kami (saya dan Kak Huda) melepak sambil makan jambu segar dari pokok.

Buah-buahnya boleh tahan besar. Saya biasanya makan dengan biji-bijinya dan kulitnya pun saya telan sekali. Sesekali rajin, saya buatkan cecahnya, gula pasir dicampur kicap. Haa.. sedapnya bukan kepalang. Sehingga kini, saya lebih gemar makan jambu batu, jambu air atau nenas di cecah dengan kicap gula.. e-eh, terliur-liur pulak saya jadinya.

Al-kisah kalau di bulan puasa, buah-buah jambu ni akan nampak lebih sedap dari biasa. Suatu hari saya tak tahan lapar (atau tak tahan nafsu nak makan?) lalu saya petik sebiji buah jambu. Nak dimakan di pokok takut orang nampak, malulah pulak. Saya bawak masuk ke dapur, lalu saya kupas kulitnya, buang kulit dalan tong sampah dan makan. Enak sungguh makan buah jambu semasa itu. Nak di jadikan cerita, apabila Mak balik kerja petang itu, Mak nampak kulit jambu di dalam tong sampah.. maka tak payahlah nak berselindung lagi, bukti jelas dan nyata. Saya di marah Mak hari itu kerana tidak perpuasa.

Kisah ini sentiasa saya ingat terutama di bulan puasa. Semalam, selepas saya balik dari kerja, segera saya ke dapur untuk menyediakan makanan berbuka. Saya nampak ada lebihan gunting packet sup mushroom segera di tepi sink. Maka tahulah saya bahawa ada anak saya yang tidak berpuasa pada hari itu....

1 comment:

Huda Ahsin said...

Hahahaha... sign of the times. Dulu kita yang-yok makan jambu & minum air paip!
Sekarang mushroom soup in a packet... pandai pulak dia tuang air panas ek?