Wednesday, September 30, 2009

Aidil Fitri 2009

Alhamdulillah, dah selamat pun kita menyambut Syawal tahun ini.

Giliran hari pertama di Batu Pahat memang amat menyeronokkan. Apa tidaknya, bukan senang nak berkumpul sekeluarga apabila semua adik beradik tinggal berjauhan selepas berkahwin. Sebab itu lah kami sepakat bergilir raya pertama. Kalau tahun ini kami menyambutnya di Batu Pahat, tahun depan kami menyambutnya di rumah mertua masing-masing. Walaupun begitu kami akan tetap pulang juga ke Batu Pahat pada raya kedua atau ketiga dan membuat perancagan agar dapat satu hari semuanya ada di rumah Mak dan Abah.

Nasib baik jugalah abang ipar orang Batu Pahat. Apabila kami menyambut Syawal pertama di rumah mertua, kakak sulung kami Kak Huda akan memasak di rumah Mak dan Abah. Bila giliran Syawal pertama di rumah Mak dan Abah, kami pula yang masak manakala Kak Huda memasak di rumah mertuanya dan akan kembali ke rumah Mak dan Abah sebelum berbuka puasa.

Harapan kami bila semua berkumpul, dapatlah menghibur hati Mak Tok dan Tok Abah dengan keriuhan anak dan cucu-cucu walaupun untuk beberapa hari rumah tonggak tebalik juga jadinya. Living room penuh dengan kertas-kertas lukisan cucu-cucu juga dengan serakan buku-buku, pensil warna dan majalah. Riuh rendah suara cucu-cucu, sekejap terkekek-kekek ketawa, sekejap menjerit-jerit(emak-emaknya lah), sekejap menangis bergaduh, mengadu domba. Tidak sampai 10 minit dah berkawan semula. Siapa yang pulang awal dapatlah menempah bilik, siapa sampai lewat, emm.. tidur aje lah di mana-mana. Kita pun tak kisahlah, janji semua ada. Begitulah suasana hari raya di Batu Pahat, memang dinanti-nanti oleh anak-anak kami. Almaklumlah masih bersuasana kampung lagi kan.

Tahun ini raya kami bertema hijau. Dapatlah juga sedondon kain dengan anak dara kecik kita sorang tu. Comel aje dia. Selalunya kalau dengan anak-anak bujang dapat sedondon warna saja. Jangan tak tahu, kita beli kain siap berbatu-batu. Punya lah dahsyat. Akhirnya jenuh Mak Pah kita nak menjahitnya. Kesian dia. Ok-lah tahun depan cari kain yang biasa-biasa saja.




Perihal makan, tercapailah hajat Tok Abah menjamu anak cucu makan ayam kampung peliharaannya. 6 ekor tu. Nasib lah kaum bapa paksa rela dikerah mengerjakan bulu ayam. Raziq dan Hannan pun ikut menolong sekali. Pengalaman untuk mereka. Maka ayam tadi kita dan Noora masakkan Ayam Kicap dan selebihnya kami perap buat Ayam Panggang.Mak Tok pula menjamu dengan Lepat Pulut Kacang dan Ketupat Pulut.. aii.. sedapnya bila makan diciciah dengan serunding.


Cerita pasal Ketupat Pulut ni, teringat kita kisah lucu pada hari kami nak pulang ke KL. Mak nak bekalkan kami dengan Ketupat Pulut. Bila nak merebus Mak masukkan ketupat dan santan ke dalam rice cooker besar kami. Kemudian Mak tanya kat mana wayar rice cooker tu. Jenuhlah kami mencari merata dapur. Akhirnya adik ipar, Masri cadang guna gas saja lah. Mak pun kata okaylah, benda-benda ni lagi di cari lagi lah dia sembunyi. Sedang elok Masri menuang santan dari rice cooker ke dalam kuali besar, melingkar satu benda hitam di dasar periuk rice cooker! He he, kat situ rupa-rupanya wayar rice cooker tu bersembunyi. Adui, semuanya ketawa besar aje lah. Alhamdulillah ketupat pulut pun menjadi dan dah habis pun kami makan berbekal serunding Mak Entan.

Begitulah adanya. Alhamdulillah, Aidilfitri tahun ini sungguh menggembirakan kita. Semoga dipanjangkan umur kita semua dan dimurahkan rezeki dan dapat berjumpa lagi Aidilfitri di tahun hadapan.. Insya-Allah.

1 comment:

Huda Ahsin said...

Takde tinggal kat aku pon!! he he he... sebenarnya tahun ni rasa tak puas kan kita borak-borak? Age catching up ke? Dah tak tahan bercengkang mata. Pukul 12 aje dah kong sume. I really miss you girls!!